Sejak debutnya dalam industri filem Bollywood, aktor Kartik Aaryan sering dihujani tawaran untuk membintangi filem-filem bergenre romantik dan komedi, namun kali ini dia sedia untuk keluar dari zon selesa.
Selepas menjayakan filem romantik Imtiaz Ali, "Love Aaj Kal" baru-baru ini, kini Kartik menolak tepi imej lelaki romantiknya buat seketika demi menjayakan filem thriller "Dhamaka".
""Dhamaka" akan menjadi kejutan buat semua. Ia akan menceritakan pelbagai kisah relevan yang berlaku dalam masyarakat kita sekarang. Ia adalah filem saya yang paling komersial.
"Namun saya tak akan buang imej lelaki romantik. Ia adalah satu keistimewaan yang langsung tak menjadi masalah buat saya. Lelaki romantik kegemaran saya masih Shah Rukh Khan," katanya yang dipetik dari Times of India.
Tambah Kartik lagi, dia sentiasa terbuka untuk mencuba pelbagai genre filem berbeza selepas membintangi "Dhamaka", serta mempunyai beberapa projek filem baru selepas ini.
Diarahkan oleh Ram Madhvani, "Dhamaka" mengisahkan seorang wartawan yang membuat liputan secara langsung tentang serangan pengganas yang berlaku di Mumbai.
Penggambaran dijangka berlangsung dalam masa terdekat dan filem itu akan ditayangkan pada 2021.
Dalam perkembangan lain, Kartik akan muncul dalam dua lagi filem sekuel iaitu "Bhool Bhulaiyaa 2" dan "Dostana 2".
(Sumber foto: Kartik Aaryan Instagram)