Aktor Kartik Aaryan telah diangkat sebagai peneraju utama dalam sekuel filem thriller komedi berjudul "Bhool Bhulaiyaa 2".

Sebelum ini terdapat laporan yang menyatakan Farhad Samji akan mengarah serta menulis skrip bagi filem terbitan Bhushan Kumar tersebut.

Berita itu telah diumumkan oleh syarikat produksi Bhushan, T-Series pada April lalu selepas mereka mendaftarkan judul filem berkenaan.

"Sementara pembikin filem sedang menyusun atur idea, skrip filem masih dalam proses penghasilan. Idea filem telah dikongsikan kepada Kartik dan dia tertarik dengan idea tersebut.

"Dia telah bersetuju untuk meneruskan francais yang difilemkan di bandar itu (lokasi filem asal)," jelas satu sumber terdekat menerusi laporan dari MumbaiMirror.

Pembikin filem kini sedang merancang plot filem untuk diselitkan dengan muzik dan mencari peneraju wanita serta barisan pelakon sampingan.

Filem asal itu merupakan sebuah 'remake' filem Malayalam berjudul "Manichitrathazhu" yang dibintangi Mohanlal, Suresh Gopi dan Shobhana.

Beralih ke perkembangan lain, Kartik telah menjalani penggambaran bagi sebuah 'remake' filem "Pati Patni Aur Who" 1978 pada awal tahun ini.

Aktor berusia 29 tahun ini juga bersetuju untuk membintangi sekuel filem "Dostana" yang turut menampilkan aktres Janhvi Kapoor dan seorang lagi pelakon baru.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

Sumber artikel: Mumbai Mirror
Sumber foto: DNA India