Sejak kematian aktor Sushant Singh Rajput, isu nepostisme yang sememangnya menjadi isu utama dalam industri perfileman Bollywood mula dibangkitkan semula dan menjadi perdebatan warganet.
Sehubungan dengan itu, salah seorang selebriti yang menjadi sasaran adalah pengarah tersohor Karan Johar, atau KJo, yang menerima pelbagai kecaman kerana dikatakan mementingkan nepostisme dalam produksi filemnya.
Baru-baru ini, popularitinya di media sosial dilihat semakin berkurang apabila dia kehilangan lebih daripada sejuta pengikut di Instagram, begitu juga di laman Twitter. Malah KJo turut digelar hipokrit selepas dia memuat naik perkongsian mengenai Sushant.
"Saya tidak lagi menjadi pengikut Karan Johar di Instagram dan semua portal media sosial. Saya tak boleh menyokong selebriti yang mementingkan hubungan peribadi berbanding bakat apabila menawarkan kerja dalam industri.
"Kenapa saya perlu membayar untuk filem yang mempunyai anak-anak bintang terkenal kalau saya boleh membayar untuk filem yang jalan cerita dan lakonannya bagus? Kini orang ramai hanya mengeluarkan wang untuk menonton pelakon terkenal.
"Kami ingin menonton filem yang bagus dan jika ia perlu disuarakan menerusi media sosial dan tidak lagi menjadi pengikut segelintir personaliti filem, jadi itulah yang akan kami lakukan," ujar Santi Sankar, seorang usahawan berpengkalan di Gurugram, yang dipetik dari Hindustan Times.
Selain KJo, bintang-bintang filem lain yang turut menerima kecaman hebat daripada warganet ialah aktres Alia Bhatt dan Sonam Kapoor, yang dianggap sebagai golongan mendapat hak istimewa.
Sementara itu, pengikut aktres Kangana Ranaut di media sosial pula dilihat semakin meningkat apabila menerima lebih sejuta pengikut baru.
Kangana yang sering membangkitkan isu nepostime dalam industri, telah membuka mata ramai pihak apabila menghasilkan video mengenai Sushant dan apa yang dihadapi oleh pendatang asing dalam industri.
Kekecohan semakin bertambah apabila warganet mula menubuhkan petisyen untuk memboikot semua filem yang dihasilkan dan dibintangi oleh bintang-bintang terkenal Bollywood, termasuk filem-filem KJo.
(Sumber: Hindustan Times)
(Sumber foto: Huffington Post)