Anak kepada primadona Bollywood Sridevi iaitu Khushi Kapoor mendedahkan bahawa dia pernah dipersendakan oleh orang ramai kerana wajahnya tidak mirip seperti ibu dan kakaknya Janhvi Kapoor.

Menurut gadis berusia 19 tahun itu, kritikan-kritikan negatif yang diterima daripada orang ramai menyebabkan dia sering mempersoalkan harga dirinya di usia muda sehingga memberi kesan kepada kehidupan sehariannya.

"Saya seorang yang pemalu dan mudah berasa janggal. Saya hanya ingin orang tahu yang saya juga manusia biasa. Saya tak tahu cara untuk berdepan dengan kritikan-kritikan ini, terutamanya di usia yang masih muda.

"Sebagai seorang anak, ia telah mempengaruhi bagaimana saya melihat ibu bapa saya. Wajah saya tak mirip seperti ibu dan kakak saya, jadi perkara itu menyebabkan saya dipersenda oleh orang ramai.

"Saya berasa tak selesa dengan perkara tersebut sehinggakan ia mempengaruhi cara pemakanan dan pemakaian saya," dedahnya menerusi laporan Mid-Day.

Pada masa yang sama, Khushi turut berasa gembira kerana diberi penghargaan oleh para peminat biarpun dia merasakan dirinya masih belum layak untuk menerimanya, serta berharap dapat terus menceriakan orang ramai.

Semua itu telah dikongsikan menerusi sebuah video berjudul "The Quarantine Tapes: Episode 1" yang dimuat naik oleh Pearl Malik di laman Instagram baru-baru ini.

Biarpun masih belum mengorak langkah dalam industri perfileman seperti ibu, kakak serta ayahnya Boney Kapoor yang juga penerbit filem terkenal, namun Khushi masih menjadi tarikan para peminat dengan caranya tersendiri.

Untuk rekod, Khushi yang pernah mendedahkan impiannya untuk menjadi seorang aktres dan model kini sedang melanjutkan pengajiannya di New York, Amerika Syarikat.

(Sumber: Mid-Day)
(Sumber foto: IMDB, Pinkvilla)