Bintang Bollywood veteran Anil Kapoor berjaya menarik perhatian ramai apabila dia berkongsikan beberapa keping foto tidak berbaju di laman Instagram miliknya untuk menceritakan perjalanan amalan hidup cergas.
Seperti sedia maklum, Anil merupakan salah seorang daripada selebriti-selebriti Bollywood yang sentiasa dipandang sebagai inspirasi dan idola para peminat jika bercakap soal rutin hidup sihat dan kecergasan.
Anil yang dilihat sedang bersiar-siar di tepi pantai dan bersantai di kolam renang dalam foto-foto itu berkongsikan cara untuk dia mendapatkan tubuh badan yang ideal serta perjalanannya mengatasi kelemahan diri sepanjang tempoh kuarantin.
"Semua orang ada titik kelemahan. Saya punya adalah makanan. Sifat Punjabi dalam diri saya sentiasa ingin puaskan deria rasanya dan mata saya lebih besar dari perut saya. Ketika kuarantin, saya menetapkan satu tugasan untuk mencapai tubuh badan ideal.
"Penampilan ini memerlukan cara pemakanan yang baru. Harsh dan jurulatih saya, Marc, sentiasa mengingatkan saya untuk mengawal pemakanan. Saya cuba sehabis baik. Ada masa saya gagal. Dan apa yang belajar adalah rantaian itu sama kuat dan sama lemah.
"Maka semua yang ada di rumah perlu terlibat sama. Daripada yang memasak untuk saya hinggalah yang makan bersama-sama saya. Amalan kecergasan ini memerlukan sokongan dan galakan semua orang," tulisnya.
Seperti yang dilihat di laman Instagram miliknya, Anil menanam disiplin dalam diri untuk terus melakukan aktiviti senaman dan kecergasan, biarpun alatan sukannya di rumah tidak mencukupi, sekaligus berkongsi tips-tips buat para peminat.
Kali terakhir Anil dilihat berlakon adalah menerusi filem thriller "Malang". Anil akan kembali beraksi di layar perak menerusi filem aksi "Mumbai Saga" dan juga sebuah filem sejarah yang akan diarahkan oleh Karan Johar.
(Sumber foto: Times of India)