Aktres Kriti Sanon mengakui berdepan kesukaran untuk menambah berat badannya untuk menjayakan watak dalam filem "Mimi" gara-gara hilang selera makan sejak akhir-akhir ini.

Menurut laporan dari Hindustan Times, terdahulu Kriti terpaksa memaksa dirinya untuk makan sebanyak yang mungkin untuk menambah sebanyak 15kg lagi untuk meneruskan penggambaran.

"Kami telah menjalankan penggambaran babak-babak mengandung dan Encik Laxman (pengarah) menjelaskan penambahan berat badan sangat penting untuk babak itu kerana dia tak mahu wajah saya kelihatan cengkung.

"Memandangkan metabolisme saya tinggi, saya tahu ini adalah cabaran buat saya. Saya terpaksa menambah pengambilan kalori dan berhenti bersenam termasuk yoga!

"Walaupun saya menikmati makanan-makanan berat ketika sarapan dan manisan selepas setiap hidangan, namun sampai satu tahap saya perlu paksa diri saya untuk makan kerana sudah hilang selera.

"Malah jika berasa lapar, saya hanya akan makan kepingan-kepingan keju," katanya.

Menerusi filem "Mimi", Kriti akan memegang watak sebagai seorang ibu tumpang, di mana dia akan berkongsi skrin dengan aktor Pankaj Tripathi, Sai Tamhankar, dan Manoj Pahwa.

Baru-baru ini, pengarah Laxman Utekar memberitahu bahawa pihak produksi sedang menantikan waktu yang sesuai untuk memfilemkan klip lagu filem itu dan menyiapkan proses pos-produksi yang tertangguh akibat pandemik COVID-19.

Menurut Laxman, klip lagu itu akan menampilkan beberapa aktor dari United Kingdom dan mereka tidak dapat meneruskan penggambaran selagi penerbangan antarabangsa tidak beroperasi.

Asalnya, filem "Mimi" dijadual tayang di pawagam pada Julai ini namun kini penerbit Dinesh Vijan terpaksa menukar tarikh tayangan ke satu tarikh yang baru.

(Sumber: Hindustan Times)
(Sumber foto: Ritzy Star)