Tahun demi tahun mengejar pengalaman dalam industri perfileman, aktres Kriti Sanon mengakui keyakinannya untuk menggalas watak yang mencabar dan berisiko semakin tinggi.

Menurut Kriti, dia mula menyedari perkara itu selepas menjayakan watak Parvati Bai menerusi filem sejarah peperangan "Panipat" arahan Ashutosh Gowariker yang ditayangkan pada Disember lalu.

"Watak seperti Pavarti Bai memberi keyakinan dan menggalakkan anda untuk melakukan sesuatu yang berbeza. Tidak mudah untuk saya jayakan watak itu kerana ia berdasarkan individu sebenar yang juga orang penting dalam sejarah.

"Saya sangat bertuah kerana diberikan peluang untuk menjayakan watak itu dan kini saya berasa semakin yakin untuk mengambil risiko dan memberi kejutan kepada orang ramai, termasuk diri sendiri," katanya yang dipetik dari Mumbai Mirror.

Dalam pada itu, Kriti memberitahu dia bersikap sangat teliti dan banyak belajar dari kesalahan. Ia membantu aktres berusia 29 tahun itu untuk terus melebarkan kariernya dalam industri.

Kriti turut mendedahkan dia tidak pernah mengikuti sebarang latihan tertentu dalam jurusan perfileman. Segala ilmunya dipelajari menerusi kerja atau filem-filem yang pernah dibintanginya.

"Proses lakonan saya sangat organik dan bersifat spontan, tetapi ia memerlukan banyak latihan. Saya tidak mempunyai formula yang tertentu," tambahnya lagi.

Kali terakhir dilihat menerusi filem "Pati Patni Aur Woh", kini Kriti sedang terlibat dengan penggambaran filem "Mimi" arahan Laxman Utekar, di mana dia akan dilihat sebagai watak seorang ibu tumpang.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber foto: Grazia)
(Sumber artikel: Mumbai Mirror)