Madhuri Dixit Nene merupakan seorang aktres, penerbit dan personaliti televisyen kelahiran Bombay yang mula mencipta nama dalam industri hiburan dan perfileman Bollywood pada tahun 1980-an. Kejayaan Madhuri dalam dunia lakonan melayakkannya untuk menerima sebanyak enam Anugerah Filmfare dan bergelar salah seorang aktres menerima bayaran paling tinggi di Bollywood.

Selain berbakat dalam lakonan, Madhuri juga dilahirkan dengan bakat menari, sehinggakan dia menerima gelaran 'Dancing Diva of Bollywood'. Boleh dikatakan tiada siapa yang mampu menggantikan tempat Madhuri untuk memberi seri kepada industri filem Bollywood. Malah aktres itu turut mewujudkan sebuah laman sesawang Dance With Madhuri yang menawarkan kelas tarian dalam talian secara percuma!

Sehingga kini, lagu-lagu berserta tarian Madhuri dalam filem-filem lakonannya seperti "Ek Do Teen", "Didi Tera Devar Deewana" dan "Choli Ke Peeche", masih terpahat di hati para peminat sehingga ke hari ini. Tambahan lagi, tarian dan lagunya juga yang berjaya menyinari perjalanan karier Madhuri sebagai seorang selebriti selama bertahun-tahun.

Bersempena dengan ulang tahun kelahirannya yang ke-53 pada 15 Mei, kali ini min menyenaraikan lagu-lagu popular yang dipersembahkan oleh Madhuri Dixit!

"Ek Do Teen"

Lagu ikonik "Ek Do Teen" dalam filem arahan N. Chandra "Tezaab" (1988) menjadi titik permulaan bakat tarian Madhuri terserlah ke mata para penonton, terutamanya para pembikin filem. Penyanyi lagu ini adalah Alka Yagnik. Atas usaha Madhuri menjayakan lagu ini dengan gerak tarinya, guru tarian Saroj Khan telah memenangi Anugerah Filmfare 1989. Sehingga hari ini, jumlah tontonan lagu ini di YouTube telah mencecah lebih 96 juta.

Untuk pengetahuan lanjut, lagu ini turut dicipta semula dengan versi baru untuk ditampilkan dalam filem aksi "Baaghi 2" (2018). Ia telah dipersembahkan oleh aktres Jacqueline Fernandez. Walau bagaimanapun, para pengkritik filem dan penonton berpendapat bahawa ia masih tidak dapat menandingi lagu asal yang dipersembahkan oleh Madhuri.

"Humko Aaj Kal Hai Intezaar"

Ditampilkan dalam filem thriller "Sailaab" (1990) arahan Deepak Balraj Vij, lagu ini telah berjaya memecahkan rekod berada di tangga teratas carta-carta lagu pada tahun 1990-an. Ditulis oleh Javed Akhtar, lagu ini telah dinyanyikan oleh Anupama Deshpande dan dipersembahkan oleh Madhuri dalam filem tersebut.

Sekali lagi, Anugerah Koreografi Terbaik Filmfare 1991 jatuh ke tangan Saroj Khan atas koreografi lagu ini yang memukau. Dalam persembahan lagu ini, kostum dan tarian Madhuri diinspirasikan daripada wanita Marathi tradisional.

"Dhak Dhak Karne Laga"

Madhuri telah diberi gelaran terkenalnya iaitu 'Dhak Dhak Girl' selepas menjayakan lagu ini dalam filem "Beta" (1992) bersama aktor Anil Kapoor. Biarpun lagu ini dilanda kontroversi selepas dikatakan ia menciplak lagu "Abbanee Teeyani" dari filem Telugu "Jagadeka Veerudu Atiloka Sundari" (1990), namun sehingga kini ia masih kekal sebagai salah satu lagu Hindi paling terkenal.

Penyanyi asal yang menyumbang suara bagi lagu ini ialah Udit Narayan dan Anuradha Paudwal. Saroj Khan turut memenangi Anugerah Koreografi Terbaik Filmfare 1993, sementara Anuradha Paudwal pula dinobatkan sebagai Penyanyi Wanita Terbaik dalam acara anugerah yang sama.

"Chane Ke Khet Mein"

Tahun 1990-an merupakan zaman kegemilangan Madhuri, di mana setiap lagu yang dipersembahkan olehnya menjadi popular! Salah satunya ialah lagu "Chane Ke Khet Mein" yang ditampilkan dalam filem thriller "Anjaam" (1994) lakonan Madhuri bersama 'King of Bollywood' Shah Rukh Khan. Lagu ini dinyanyikan oleh Poornima Shrestha dan liriknya ditulis oleh Sameer. Dalam klip lagu ini, Madhuri dilihat seronok menjayakan gerak tari dalam sebuah majlis keramaian yang meriah.

"Choli Ke Peeche Kya Hai"

Menerusi klip lagu filem aksi thriller "Khal Nayak" (1993) ini, Madhuri telah berkongsi skrin bersama aktres Neena Gupta, tetapi persembahan Madhuri yang menerima pujian para penonton. Penulis lirik Anand Bakshi pula mencetuskan kontroversi apabila lagu ini dikatakan mempunyai 'double meaning'. Ia telah digubah oleh Laxmikant-Pyarelal dan dinyanyikan oleh Alka Yagnik bersama Ila Arun, sementara koreografinya digubah oleh Saroj Khan.

Biarpun dihimpit kontroversi, namun kesemua mereka telah tercalon dalam Anugerah Filmfare 1993. Seperti lagu-lagu lain, Saroj Khan menjuarai Anugerah Koreografi Terbaik, sementara Alka Yagnik dan Ila Arun dinobatkan sebagai Penyanyi Latar Terbaik.

"Didi Tera Devar Deewana"

Gandingan serasi antara Madhuri dan bintang terkenal Salman Khan berjaya menghidupkan aura lagu "Didi Tera Devar Deewana" bagi filem "Hum Aapke Hain Koun..!" (1994). Filem ini dihasilkan bagi meraikan kemeriahan dan tradisi majlis-majlis perkahwinan India. Lagu gubahan Raamlaxman ini dinyanyikan oleh Lata Mangeshkar dan S. P. Balasubrahmanyam.

Klip lagu yang kini mencecah lebih 155 juta tontonan di YouTube menyaksikan Madhuri dan Salman menyanyi dan menari bagi meraikan majlis sambutan bayi atau 'baby shower'. Sambutan menggalakkan bagi lagu ini menyebabkan ia berjaya merangkul Anugerah Istimewa Filmfare. Malah sari rekaan Anna Singh yang digayakan oleh Madhuri dalam klip lagu ini juga laris terjual di pasaran.

"Dil To Pagal Hai"

Dengan rentak melodi yang rancak, pasti ramai yang ikut menari bersama setiap kali lagu dari filem "Dil To Pagal Hai" (1997) ini dimainkan. Madhuri bersama tiga lagi bintang Bollywood iaitu Shah Rukh Khan, Akshay Kumar dan Karisma Kapoor telah sama-sama menjayakan klip lagu nyanyian Lata Mangeshkar dan Udit Narayan ini. Buat pengetahuan lanjut, lagu dan filem ini telah difilemkan di Jerman, menampilkan tempat-tempat menarik seperti Taman Tema Europa.

Jumlah tontonan yang dicatatkan di YouTube untuk lagu "Dil To Pagal Hai" kini mencecah angka lebih 88 juta. Koreografi lagu ini dihasilkan oleh Shiamak Davar, yang berjaya menggenggam trofi bagi kategori Koreografi Terbaik bagi Anugerah Zee Cine, Anugerah Skrin Videocon dan Anugerah Filem Nasional ke-45.

"Kaahe Chhed Mohe"

Lagu ini ditampilkan dalam filem berbajet besar arahan Sanjay Leela Bhansali "Devdas" (2002), menyaksikan kembali gandingan hebat Madhuri bersama Shah Rukh Khan. Lihat sahaja Madhuri mempersembahkan gerak tari Mujra yang berasal dari era Mughal. Ia menggabungkan elemen-elemen tarian klasik Kathak bersama muzik ghazal dan puisi budaya Mughal. Lagu nyanyian Madhuri bersama Kavita Krishnamurthy dan Birju Maharaj ini telah digubah dan ditulis oleh Pandit Birju Maharaj.