Selama 17 tahun mencipta nama dalam industri perfileman, baru kini aktres Mahie Gill berpeluang untuk membintangi filem komedi menerusi "Doordarshan" arahan debut Gagan Puri.

Menurut Mahie, atau nama sebenarnya Rimpy Kaur Gill, dia kini bersedia untuk menonjolkan sisi berbeza dalam lakonannya memandangkan dia sering ditawarkan watak-watak yang serius.

"Selama ini saya sering membawa watak serius dan ini kali pertama saya mencuba genre komedi. Saya berasa agak gementar tetapi suasana meriah di set sedikit sebanyak mengurangkan perasaan itu.

"Ini merupakan peluang saya untuk membuang imej serius yang sekian lama dipegang. Benar, genre komedi agak sukar. Anda tidak boleh terus berlakon begitu sahaja. Banyak perkara yang perlu dipertimbangkan.

"Salah satunya adalah keserasian dengan aktor gandingan. Berbeza dengan genre lain, untuk filem sebegini anda perlu lebih bergantung kepada aktor gandingan kerana ia melibatkan perbuatan dan reaksi," jelasnya dalam laporan Cinestaan.

Mahie turut memberitahu dia tidak mempunyai masalah untuk bekerja di bawah arahan Gagan Puri memandangkan pengarah dan penulis skrip filem itu banyak memberi tunjuk ajar dan bersikap sabar.

Mahie membuat debut sebagai aktres menerusi filem "Hawayein" (2003) dan kali terakhir dia dilihat di layar perak adalah menerusi filem aksi "Family of Thakurganj" yang ditayangkan tahun lalu.

Diterbitkan oleh Arya Films, "Doordarshan" sedia untuk ditayangkan bermula 28 Februari ini.

(Sumber: Cinestaan)
(Sumber foto: Mahie Gill Facebook)