Mahima Chaudhry merupakan seorang aktres terkenal sebelum dia membuat keputusan untuk berehat dari dunia lakonan untuk memberi sepenuh tumpuan terhadap keluarganya.

Kini Mahima menggalas tanggungjawab dalam membesarkan anak perempuannya, Ariana, sebagai seorang ibu tunggal setelah berpisah dengan suami, Bobby Mykherji, pada 2013.

Aktres yang membuat debut menerusi filem "Pardes" (1997) bersama bintang terkenal Shah Rukh Khan mengakui menjadi ibu tunggal adalah satu cabaran dalam hidupnya.

"Ia adalah cabaran besar buat saya kerana saya banyak bergantung kepada orang lain. Saya pulang ke sini (India) dan tinggal bersama ibu bapa saya dan banyak bergantung kepada mereka.

"Pada ketika itu juga ibu saya disahkan menghidap penyakit dan saat itu saya tahu saya perlukan bantuan kerana tak mampu besarkan anak saya seorang diri.

"Apabila saya pergi kerja, saya perlu meninggalkan anak dan ibu saya, jadi saya terpaksa meminta bantuan staf saya. Bapa saya perlu menetap di Darjeeling," ujarnya yang dipetik dari Pinkvilla.

Walau bagaimanapun, beban Mahima berkurang sedikit selepas dia meminta bantuan daripada kakaknya yang juga ibu tunggal dan membesarkan anak-anak mereka bersama.

Filem Hindi terakhir lakonan Mahima adalah "Mumbhaii - The Gangster" (2015) arahan Rajiv Ranjan, yang mana dia berkongsi skrin dengan Sanjay Kapoor dan Om Puri.

(Sumber: Pinkvilla)
(Sumber foto: Hamara Photos)