Bintang filem "Raees" Mahira Khan mengesahkan bahawa dirinya positif COVID-19 menerusi sebuah perkongsian yang dimuat naik di laman Instagram miliknya pada Ahad.
"Saya telah disahkan positif COVID-19. Saya kini berada dalam tempoh kuarantin dan telah memaklumkan semua kontak rapat saya beberapa hari lalu," katanya.
Walau bagaimanapun, Mahira memberitahu keadaannya akan bertambah baik serta menasihati orang ramai supaya sentiasa berjaga-jaga dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) demi keselamatan.
"Ia adalah ujian berat namun saya pasti ia akan baik-baik sahaja nanti, InshaAllah. Sila pakai pelitup muka dan patuhi segala SOP demi keselamatan anda dan orang lain," katanya.
Rakan-rakan selebriti dan para peminat pula dilihat menghujani ruangan komen perkongsian aktres berdarah Paskitan itu dengan kata-kata semangat serta mendoakan kesihatannya.
Beralih ke perkembangan lain, Mahira telah pun selesai menjalani penggambaran filem terbarunya "Neelofer", menyaksikan gandingan semula aktres itu dengan bintang filem "Humsafar", Fawad Khan.
Selain itu, dia juga akan muncul dalam filem aksi Pakistan-Punjabi "The Legend of Maula Jatt" yang kini berada dalam proses pos-produksi.
Untuk rekod, Mahira menjejakkan kaki ke dunia Bollywood menerusi filem "Raees" (2017), di mana dia berpeluang untuk berkongsi skrin dengan bintang terkemuka Shah Rukh Khan.
(Sumber foto: Mahira Khan Instagram)