Hari demi hari selebriti Bollywood dilihat semakin aktif melakukan kerja amal ketika tempoh Perintah Berkurung yang dilaksanakan kerajaan India untuk membendung penyebaran wabak COVID-19.

Terbaru, aktres televisyen terkenal Mahira Sharma melakukan tanggungjawabnya dengan menyalurkan barangan keperluan serta bekalan makanan kepada golongan yang memerlukan.

"Pada pendapat saya menderma barangan keperluan adalah satu cara untuk menunjukkan kita ambil berat tentang mereka.

"Saya ambil berat tentang semua yang kurang berkemampuan untuk menampung diri dan keluarga mereka pada ketika ini.

"Mungkin ada yang menganggap kami menunjuk-nunjuk tetapi kami menghormati pandangan anda. Sesetengah beranggapan begitu mungkin kerana apa yang kami lakukan akan tersebar kepada orang ramai.

"Apa yang kami percaya menderma adalah sesuatu yang kami lakukan dengan ikhlas dan tidak perlu ada bukti tetapi ini adalah cara untuk memberi motivasi kepada orang ramai untuk bekerjasama dalam krisis ini," jelasnya menerusi Instagram.

Menerusi video yang dimuat naik itu, Mahira dilihat mengagihkan bekalan makanan kepada orang ramai dengan bantuan aktor dan model Paras Chhabra, yang juga teman rapatnya.

(Sumber: Mahira Sharma Instagram)
(Sumber foto: Mahira Sharma Instagram)