Jika dilihat pada masa kini, terdapat banyak karya filem dan lagu yang dibikin semula untuk memberi nafas baru serta kelainan namun tidak semua yang mampu menandingi karya asal.

Begitulah pendapat aktres dan model terkenal Malaika Arora mengenai lagu "Chaiyya Chaiyya", yang mana dia membuat penampilan khas, dalam filem klasik "Dil Se.." (1998) lakonan Shah Rukh Khan, Manisha Koirala dan Preity Zinta.

"Kita dapat lihat kini lagu-lagu 'remix' sudah menjadi arah aliran masa kini. Pada pendapat saya terdapat beberapa lagu ikonik yang orang tidak patut ganggu.

"Salah satunya adalah "Chaiyya Chaiyya", apabila anda mendengarnya secara tidak langsung anda ingin menari bersama. Ketika penggambaran lagu itu, saya dibantu oleh Geeta Kapur untuk belajar tariannya.

"Selain itu, ada juga filem-filem ikonik seperti "The Godfather" dan "Mother India" yang karyanya tidak perlu disentuh dan dibiarkan asli," katanya yang dipetik dari laporan NDTV.

Kali terakhir Malaika dilihat di layar perak adalah menerusi lagu "Hello Hello" dalam filem komedi "Pataakha" arahan Vishal Bhardwaj yang ditayangkan pada 2018.

Dalam perkembangan baru, Malaika bakal duduk di bangku juri bersama Geeta Kapur dan Terence Lewis bagi program tarian solo "India's Best Dancer" yang akan ditayangkan di Sony Entertainment Television bermula 29 Februari ini.

(Sumber: NDTV)
(Sumber foto: Malaika Arora Instagram)