Ratu cantik Miss World 2017, Manushi Chhillar sedia membuat debut dalam industri Bollywood apabila dipilih untuk membintangi filem "Prithviraj" arahan Chandra Prakash Dwivedi.

"Ia merupakan satu penghormatan untuk dipilih sebagai heroin oleh sebuah syarikat produksi seperti Yash Raj Films.

"Saya sangat gembira dan teruja dengan segala perkara baru yang akan saya pelajari sepanjang pengembaraan ini.

"Kehidupan saya bagaikan mimpi. Bermula dari menjadi Miss India ke Miss World dan kini terlibat dalam projek besar sebagai filem debut saya. Ia bagaikan satu buku baru yang menarik dalam hidup saya," katanya yang dipetik dari The Indian Express.

Sehubungan dengan itu, Manushi akan berkolaborasi bersama bintang utama filem "Prithviraj" iaitu Akshay Kumar sebagai pasangan kekasih Prithviraj dan Sanyogita.

Menurut pengarah, pihak produksi mengadakan uji bakat bagi mencari bakat-bakat baru serta heroin India yang jelita dan berkeyakinan tinggi seperti watak Sanyogita sendiri. Ternyata ciri-ciri berkenaan terdapat pada Manushi.

"Manushi telah menyertai uji bakat kami beberapa kali dan dia telah menjayakan watak ini dengan baik sekali. Dia juga telah berlatih enam hari seminggu," ujar Dwivedi.

Diterbitkan oleh Yash Raj Films, filem "Prithviraj" adalah berdasarkan kehidupan dan semangat pewira Raja Prithviraj Chauhan. Ia dijangka akan ditayangkan pada Deepavali 2020.

(Sumber foto: Manushi Chhillar Instagram)
(Sumber artikel: The Indian Express)