Malang tidak berbau apabila aktor veteran Bollywood Mithun Chakraborty dilaporkan jatuh pengsan ketika terlibat dengan penggambaran filem barunya, "The Kashmir Files" gara-gara keracunan makanan.
Sehubungan dengan itu, pengarah Vivek Agnihotri terpaksa menghentikan penggambaran yang berlangsung di Mussoorie itu serta merta dan menundanya bagi memberi ruang buat Mithun untuk pulih sepenuhnya.
Walau bagaimanapun, aktor yang terkenal dengan sikap profesionalnya itu tetap menyambung penggambaran selepas berehat buat sementara waktu.
"Kami akan memfilemkan babak aksi yang berskala besar. Semuanya memfokuskan kepada watak Mithun Chakraborty tetapi dia tiba-tiba mengalami keracunan makanan yang agak teruk.
"Tiada manusia normal yang mampu menahan kesakitan itu namun selepas berehat sementara waktu, dia kembali untuk meneruskan keseluruhan penggambaran itu.
"Ianya sangat teruk dan saya tak dapat bayangkan sesiapa untuk menyambung penggambaran dalam keadaan begitu. Namun dia tetap teruskan. Sebab itulah dia seorang 'superstar'," kata Vivek yang dipetik dari India TV News.
Dalam pada itu, anak kepada Mithun, Namashi Chakraborty yang bakal membuat debut sebagai pelakon dalam filem "Bad Boy", berkongsikan keadaan bapanya menerusi laman Instagram (IG) miliknya.
![]() Perkembangan Mithun dikongsi oleh Namashi di IG Story miliknya |
"The Kashmir Files" memaparkan kisah sebenar pelarian Kashmiri Pandit yang keluar dari negara mereka secara beramai-ramai pada tahun 1990-an. Selain Mithun, filem itu turut dibintangi Anupam Kher dan Puneet Issar.
Setelah tayangannya pada tahun ini terpaksa ditunda akibat COVID-19, "The Kashmir Files" dijadualkan untuk tayang ke suatu tarikh baru pada 2021.
(Sumber foto: Times of India)