Seperti yang diketahui umum, Aamir Khan merupakan seorang bintang terkenal yang sangat menitikberatkan kesempurnaan dalam setiap karya filem yang dibintanginya, termasuk filem baru "Laal Singh Chaddha".

Sebagai persiapan bagi membawa wataknya, difahamkan Aamir telah mempelajari sebutan dan dialog bahasa Punjabi dengan bantuan salah seorang aktres yang turut membintangi filem itu, Mona Singh.

"Saya sangat teruja dengan penggambaran filem kami. Hidup ini penuh dengan kejutan, kita tak tahu apa yang bakal kita hadapi.

"Bagi saya, ia bagaikan impian-impian yang menjadi kenyataan. Membawa watak ini sangat mencabar dan mengujakan," ujar Mona yang dipetik dari laporan Bollywood Life.

Buat pengetahuan lanjut, terdahulu Mona juga pernah berkongsi skrin lebar bersama Aamir menerusi filem komedi kegemaran ramai, "3 Idiots".

"Laal Singh Chaddha" merupakan sebuah adaptasi versi Hindi bagi filem Hollywood "Forrest Gump" lakonan Tom Hanks, menceritakan tentang perkara-perkara berkaitan sejarah.

Aamir membawa watak Laal Singh Chaddha, seorang lelaki IQ rendah yang merungkai sejarah India dari segi perspektifnya, sementara Kareena Kapoor pula sebagai watak isterinya.

Diarahkan oleh Advait Chandan, "Laal Singh Chaddha" dijadualkan untuk menemui penonton di pawagam pada 25 Disember 2020.

(Sumber: Bollywood Life)
(Sumber foto: Zee News & Mumbai Live)