Aktor Emraan Hashmi memberitahu dia telah membuat pilihan yang tepat dalam menerima tawaran filem aksi jenayah "Mumbai Saga" untuk kembali membintangi filem-filem komersial selepas tiga tahun.

"Sudah lama saya menanti untuk membintangi filem komersial semula. "Mumbai Saga" adalah sebuah filem yang besar dan sudah lama saya tidak berlakon dalam filem sebegitu," katanya yang dipetik dari Times of India.

Selain Emraan, filem arahan Sanjay Gupta itu menampilkan barisan aktor hebat seperti John Abraham, Kajal Aggarwal, Jackie Shroff, Suniel Shetty, Prateik Babbar, Gulshan Grover, Rohit Roy, Sharman Joshi, Pankaj Tripathi, Samir Soni dan Amole Gupte.

Sesi penggambarannya telah berlangsung sejak 27 Ogos lalu dan para pembikin telah mensasarkan tarikh 19 Jun 2020 untuk menayangkan filem itu di pawagam.

Dalam pada itu, Emraan mendedahkan rahsia untuk kekal relevan dalam industri perfileman Bollywood adalah untuk berani meneroka dan mencuba sesuatu yang baru.

"Penting untuk anda sering bersikap dedikasi dan memberi tumpuan dalam apa yang anda lakukan. Saya selalu mencuba sesuatu yang baru dalam setiap filem yang saya lakonkan.

"Namun ia tidak semudah yang dijangka kerana saya telah dikenali dalam sesebuah genre yang tertentu, dan untuk mencuba sesuatu yang baru dalam industri adalah seperti meredah onak duri," jelasnya.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber foto: Jakpost)
(Sumber artikel: Times of India)