Aktres veteran Neena Gupta mendedahkan watak paling mencabar yang perlu digalas sepanjang bergelar pelakon adalah dalam filem terbaru arahan Nikkhil Advani.

Filem yang masih belum diberi judul itu telah diumumkan pada November tahun lalu dan akan diterajui oleh aktor Arjun Kapoor bersama aktres gandingannya Rakul Preet Singh.

"Filem yang akan saya jayakan bersama Arjun Kapoor dan Nikkhil Advani sangat mencabar. Anda akan tahu kenapa selepas anda menonton filem itu. Buat masa ini filem itu telah siap sebanyak 80 peratus.

"Kebanyakan babak difilemkan di Patiala. Saya perlu bekerja keras untuk menjayakan watak itu, yang mana memerlukan saya mengubah penampilan dan menurunkan berat badan.

"Ianya sangat memenatkan emosi. Saya perlu kelihatan lebih tua, ubah suara dan postur badan saya. Saya sendiri tidak tahu bagaimana saya lakukannya tetapi ia satu cabaran besar buat saya," luahnya yang dipetik dari Times of India.

Dalam pada itu, aktres berusia 60 tahun itu juga dilihat sedang sibuk mempromosikan filem sukan arahan Ashwiny Iyer Tiwari, "Panga", yang ditayangkan baru-baru ini bersama Kangana Ranaut dan Jassie Gill.

Selain itu, Neena juga akan membintangi sebuah filem komedi romantik berjudul "Shubh Mangal Zyada Saavdhan" arahan Hitesh Kewalya.

Turut menampilkan Ayushmann Khurrana dan Jitendra Kumar sebagai peneraju utama, filem itu bakal menemui penonton pada 21 Februari 2020.

(Sumber foto: Neena Gupta Twitter)
(Sumber artikel: Times of India)