Aktres dan pengacara Neha Dhupia meluahkan rasa kesal gara-gara tidak menerima sebarang tawaran projek filem dan merasakan dirinya telah diketepikan oleh industri Bollywood selepas bersalin.

"Pertama sekali, saya percaya anda pasti berasa tidak sabar menantikan projek baru untuk ditawarkan kepada anda. Kami semua mempunyai platform masing-masing sekarang.

"Kedua, persepsi akan timbul selepas anda menjadi seorang ibu. Filem terakhir saya sebelum hamil adalah "Tumhari Sulu", di mana saya telah meraih anugerah.

"Namun begitu, saya tidak menerima sebarang tawaran biarpun selepas bersalin. Kini saya ditawarkan untuk sebuah rancangan web, kita lihat nanti macam mana," katanya yang dipetik dari Hindustan Times.

Dalam pada itu, Neha turut mendedahkan dia berdepan kecaman atas tubuhnya selepas melahirkan anak, di mana seorang wartawan wanita telah memperlekehkan berat badannya.

Menurut Neha, perkara sebegitu tidak patut dihadapi buat seorang ibu baru kerana tidak adil untuk seseorang membuat kesimpulan sendiri yang mampu mengganggu mental orang lain.

Untuk rekod, Neha menjejakkan kaki ke industri Bollywood buat pertama kali menerusi filem "Qayamat: City Under Threat", yang mana melayakkannya untuk tercalon dalam kategori Aktres Debut Terbaik Anugerah Filmfare.

Sejak itu, Neha juga pernah membintangi beberapa filem seperti "Singh Is Kinng", "Action Replayy", "Rush", "Double Di Trouble", "Ungli" dan "Hindi Medium".

Neha telah melahirkan cahaya mata pertamanya, Mehr, pada 18 November 2018 hasil perkahwinannya dengan aktor Angad Bedi.

(Sumber foto: Neha Dhupia Instagram)

(Sumber artikel: Hindustan Times)