Tidak dinafikan, sejak pandemik COVID-19 menggemparkan dunia, pelbagai industri telah terjejas sehingga menyebabkan ramai yang terpaksa mengambil inisiatif lain bagi meneruskan kerja masing-masing, termasuk bekerja dari rumah.

Konsep bekerja dari rumah sememangnya berbeza dengan kerja harian di pejabat kerana ia banyak melibatkan waktu dan kerja yang fleksibel. Walaupun terdapat pelbagai aspek positif bekerja dari rumah, namun sudut negatifnya juga tidak boleh dipandang remeh, terutamanya yang membabitkan kesihatan mental dan emosi.

Sehubungan dengan itu, pakar motivasi Malika Singh, yang juga Perunding Potensi Manusia dari syarikat Thrive Global, telah memberikan beberapa tips bagaimana untuk menangani tekanan dan kerisauan melampau (anxiety), serta cara bekerja dari rumah yang lebih produktif dan efisien.

Tingkatkan kualiti kerja dan kebolehan diri

Mungkin tekanan kerja semasa membuatkan seseorang terfikir untuk bertukar kerjaya yang baru. Mungkin waktu sebegini agak sukar untuk mencari kerja, namun terdapat pelbagai syarikat yang mempunyai kekosongan. Cuba selidik perkongsian syarikat lain yang bersesuaian dengan kebolehan diri. Malah, gunakan waktu di rumah untuk meningkatkan dan mempelbagaikan kebolehan diri bagi kegunaan masa akan datang.

Hadkan waktu bekerja supaya kesihatan diri terjaga

Jadual kerja yang padat atau terlalu kuat bekerja ('workaholic') adalah punca utama kesihatan tubuh seseorang tidak terjaga. Dalam tempoh sehari bekerja, cuba berehat seketika dan rancang urusan kerja dengan baik. Amalkan rutin penjagaan waktu pagi seperti bersarapan, bersenam ataupun sekadar merehatkan minda sebelum bekerja.

Jika jadual padat sehingga di luar waktu bekerja, pastikan waktu makan tengahari atau malam tidak tertangguh. Kalau boleh, hadkan waktu bekerja dan alihkan perhatian kepada aktiviti lain yang lebih menenangkan tubuh badan dan minda.

Tangani 'panic attack' dan 'anxiety'

Kerja yang terlampau banyak juga mungkin boleh memuatkan seseorang berdepan kegelisahan atau kebimbangan melampau ('anxiety') dan 'panic attack', lebih-lebih lagi jika terpaksa mengejar tarikh akhir tugasan. Mungkin sukar untuk mendapatkan bantuan kaunselor di rumah, jadi seseorang perlu mencari penyelesaian sendiri.

Perkara utama yang perlu dititik beratkan untuk mengelakkan 'anxiety' adalah kawalan pernafasan yang efektif. Ia juga dapat membantu merehatkan minda, menaikkan semangat serta mengekalkan keseimbangan kesihatan mental. Kesedaran awal adalah langkah pertama untuk memperbaiki diri.

Pastikan waktu tidur mencukupi dan bahagi masa dengan seimbang

Pengurusan masa amat penting dalam kehidupan harian bagi memastikan segala kerja dan urusan berjalan dengan lancar. Seseorang perlu mengutamakan sesuatu perkara dengan menetapkan tugasan dan matlamat dalam diri. Bahagikan waktu untuk kerja dan bersama keluarga. Waktu pemakanan juga perlu seimbang.

Sebaiknya sebelum tidur, renung semula bagaimana urusan harian berjalan pada hari itu dan rancang urusan yang lebih baik untuk keesokan harinya. Kurangkan waktu skrin sebelum tidur bagi memastikan waktu tidur tidak terganggu.

Selesaikan masalah bersama pasangan dengan baik

Mungkin ramai di antara kita yang berdepan kesukaran bekerja dari rumah apabila terpaksa berkongsi ruang bekerja dengan pasangan. Untuk itu, komunikasi sesama pasangan amatlah penting bagi memastikan sebarang masalah dapat diselesaikan dengan baik. Kongsikan kalendar bekerja anda dan uruskan panggilan luar yang penting.

Jika tidak dapat menggunakan ruang atau bilik kerja yang berasingan, gunakan fon telinga atau fon kepala ketika menjawab panggilan atau bermesyuarat menerusi panggilan video supaya tidak mengganggu kerja pasangan. Walaupun ada masalah yang sukar untuk diselesaikan, cuba berbincang dengan baik dan saling memahami antara satu sama lain.

(Sumber foto: meredithcorp.com)