Bintang Bollywood Pankaj Tripathi sememangnya terkenal dalam menjayakan filem-filem yang mengetengahkan jenayah serta gengster, namun kali ini dia membuat keputusan untuk berehat sementara dari filem sebegitu.

Perkara itu telah disahkan sendiri oleh Tripathi, di mana dia sudah bersedia untuk menonjolkan sisi berbeza berbanding watak-watak yang pernah dijayakannya sebelum ini.

"Tidak dinafikan saya telah membawa beberapa watak gengster. Namun dalam "Gunjan Saxena" saya menjadi seorang pesara tentera dan seorang bapa, dan ia sesuatu yang berbeza.

"Penonton masih melekat dengan watak gengster saya dalam "Mirzapur" ketika "Ludo" ditayangkan. Saya tampil terlalu banyak di skrin sehingga penonton mula keliru, terlalu banyak untuk perlu diingati," katanya yang dipetik dari Filmfare.

Menerusi filem "Ludo" arahan Anurag Basu yang ditayangkan di sebuah platform penstriman video berbayar baru-baru ini, Tripathi telah berkongsi skrin dengan aktor-aktor hebat termasuk Abhishek Bachchan, Aditya Roy Kapur dan Rajkummar Rao.

Sehubungan dengan itu, bintang filem "Fukrey" itu berjanji untuk tidak menerima sebarang tawaran filem bertemakan gengster pada tahun hadapan.

Beralih ke perkembangan lain, Tripathi masih mempunyai lima buah filem baru yang masih belum ditayangkan memandangkan sebahagian daripadanya tergendala akibat pandemik COVID-19.

Filem-filem itu ialah "Sandeep Aur Pinky Faraar", "83", "Romeo", "Mumbai Saga" dan "Kaagaz".

(Sumber: Filmfare)
(Sumber foto: Nation Herald)