Aktres Parineeti Chopra mendedahkan matlamat hidupnya yang baru iaitu untuk tidak lagi sering menggalas watak-watak yang sama dalam filem akan datang.

"Jika saya dianggap pelakon yang sesuai untuk sesebuah filem, saya tidak akan melakonkannya kerana ia bermaksud orang ramai telah meletakkan pelbagai jangkaan untuk saya atau mereka pernah melihat saya menjayakan sesuatu watak sebelum ini.

"Jika ada pembikin filem yang menawarkan watak yang mereka sendiri tidak pasti saya boleh menjayakannya, maka saya akan menerima tawaran tersebut sebagai satu cabaran," ujarnya.

Menurut laporan dari Mumbai Mirror, Parineeti ingin memberi kejutan buat para penonton dengan melakonkan watak-watak yang berlainan dari sebelumnya.

Tambah Parineeti lagi, dia menyifatkan filem biopik "Saina" dan 'remake' "The Girl On The Train" adalah permulaan matlamatnya itu memandangkan watak yang dibawa agak mencabar.

Menerusi biopik itu, Parineeti akan memainkan watak jaguh badminton wanita India, Saina Nehwal dan watak seorang kaki minum dalam 'remake' filem Hollywood tersebut.

Dalam pada itu, Parineeti juga bakal membintangi filem yang diadaptasi dari kisah benar mengenai isu penculikan pengantin lelaki di Bihar, berjudul "Jabariya Jodi".

Sepupu kepada Priyanka Chopra Jonas itu akan dilihat berganding bersama aktor Sidharth Malhotra dalam filem terbitan Ekta Kapoor tersebut.

Dia menyatakan filem-filem sebegitu mempunyai impak besar dan penting dalam mengubah persepsi masyarakat menerusi mesej yang disampaikan.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber artikel: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: Filmfare)