Aktres Parineeti Chopra dilaporkan telah menarik diri dari membintangi filem sejarah "Bhuj: The Pride of India" berikutan terikat dengan jadual filem biopik Saina Nehwal yang agak padat.

"Parineeti sangat teringin untuk terlibat dengan filem ini namun dia terlalu sibuk dengan dua buah projek lain termasuk biopik Saina Nehwal yang memerlukan latihan badminton sepanjang penggambaran berlangsung.

"Ia sangat mengecewakan. Terdapat masalah mengenai tarikh penggambaran dan malangnya ia bertembung dengan tarikh penggambaran filem "Bhuj"," dedah satu sumber terdekat yang dipetik dari Eastern Eye.

Sejurus selesai penggambaran biopik itu, Parineeti akan beralih ke penggambaran filem 'remake' "The Girl On The Train" pula, menyebabkan aktres itu tidak punya masa untuk melibatkan diri dengan penggambaran filem "Bhuj".

Menerusi filem arahan Abhishek Dudhaiya yang diterajui oleh Ajay Devgn itu, Parineeti telah diberikan watak seorang perisik. Ia turut dibintangi oleh Sanjay Dutt, Sonakshi Sinha dan Rana Daggubati.

"Bhuj: The Pride of India" berkisar mengenai peperangan Indo-Pakistan pada 1971. Penggambaran filem itu bermula sejak 25 Jun lalu dan dijangka akan menemui penonton di pawagam pada 14 Ogos 2020.

Sementara itu, filem "Saina" dan 'remake' "The Girl On The Train" versi Hindi juga dijadual untuk dirilis pada tahun 2020.

(Sumber foto: Makeup And Beauty Blog)
(Sumber artikel: Eastern Eye)