Pihak Madame Tussauds Sydney mengumumkan bahawa mereka akan mempamerkan patung lilin diva Bollywood, Aishwarya Rai pada Rabu.

Patung lilin itu akan dipamerkan bersama patung lilin Shah Rukh Khan dan Priyanka Chopra Jonas di bahagian "Lights, Camera, Bollywood" yang dibuat khas bagi selebriti Bollywood.

"Kami berasa teruja mengumumkan Aishwarya Rai telah menyertai keluarga Madame Tussauds dan akan berada di sini buat dalam tempoh yang terhad sahaja.

"Dia merupakan salah seorang selebriti paling popular dan berpengaruh di India dan kami pasti dia akan menerima sambutan yang menggalakkan di sini," ujar Ketua Pengurus Madame Tussauds Sydney, Mark Connolly.

Tambahnya lagi, bahagian "Lights, Camera, Bollywood" telah dibuka pada April dan ia merupakan salah satu bahagian yang paling digemari oleh para pengunjung di sana.

"Ia benar-benar menggambarkan latar belakang dan balik tabir set produksi filem Bollywood dan kami gembira dapat melihat keseronokan para pengunjung apabila melihat gelagat mereka mempelajari tarian Bollywood," katanya.

Seperti yang dilaporkan menerusi Hindustan Times, patung lilin Aishwarya dibuat berdasarkan penampilannya di karpet merah tayangan perdana filem "Robin Hood" di Festival Filem Cannes ke-63 pada Mei 2010.

Buat pengetahuan pengunjung, patung lilin tersebut hanya akan berada di Madame Tussauds Sydney sehingga Januari tahun hadapan.

Aishwarya Rai merupakan selebriti wanita Bollywood pertama untuk mempunyai patung lilin berprestij Madame Tussauds dihasilkan di London pada 2004 dan kini patungnya dipamerkan di seluruh dunia.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber artikel: Hindustan Times)
(Sumber foto: Madame Tussauds Sydney Facebook)