Filem biopik sejarah Ajay Devgn yang dinanti-nanti ramai berjudul "Tanhaji: The Unsung Warrior" arahan Om Raut bakal dirilis di pawagam dalam versi 2D dan 3D.

"Filem memang dihasilkan untuk skrin lebar, bukan di televisyen atau tablet. Ia harus ditonton dalam format paling tinggi, terutamanya filem aksi sejarah seperti "Tanhaji".

"Kami ingin bawa penonton ke 1600-1700 Masihi menerusi sebuah filem dan membuatkan mereka rasa seperti berada di dalamnya. Jalan ceritanya juga sesuai ditonton oleh kanak-kanak.

"Ia telah difilemkan dalam versi 3D dan kami mengesyorkan anda menontonnya dalam format ini untuk kepuasan serta hiburan yang lebih baik," kata Om yang dipetik dari Bollywood Hungama.

Menerusi filem itu, Ajay akan menggalas watak ketua tentera Empayar Maratha, Tanaji Malusare, yang diperintahkan oleh Maharaja Maratha, Chhatrapati Shivaji Maharaj, untuk melindungi kubu Kondhana dari dijajah Empayar Mughal.

Selain Ajay, filem itu turut dijayakan oleh Saif Ali Khan, Kajol, Sharad Kelkar, Luke Kenny, Padmavati Rao, Jagapathi Babu, Devdatta Nage, Neha Sharma, Ajinkya Deo, Hardik Sangani dan Nissar Khan.

Diterbitkan oleh Ajay bersama Bhushan Kumar dan Krishan Kumar, "Tanhaji: The Unsung Warrior" akan ditayangkan bermula 10 Januari ini.

(Sumber foto: YouTube T-Series)
(Sumber artikel: Bollywood Hungama)