Sesi penggambaran filem biopik jaguh badminton wanita India "Saina" kini sudah hampir ke penghujungnya dan para pembikin telah membina set penggambaran baru untuk jadual terakhir.

Seperti yang dilaporkan oleh Bollywood Hungama, mereka telah membina 12 set di sebuah studio di pinggir bandar Vasai untuk membina semula gelanggang badminton dari serata dunia di mana Saina Nehwal bertanding.

"Buat masa ini kami telah siap membina lebih dari lima buah reka bentuk gelanggang. Setiap gelanggang mewakili pertandingan yang berbeza, dari Czech Republic hinggalah Manila," ujar pengarah Amole Gupte.

Menurut Amole, kerja-kerja pembinaan telah dibantu oleh dua rakan baiknya Amit Ray dan Subrata Chakravorty, yang sebelum ini terlibat dengan pembinaan set filem "Padmaavat" dan "Kesari".

"Pengalaman dan kebijaksanaan mereka telah membantu saya melebarkan visi bagi "Saina". Mereka telah menghasilkan stadium yang kelihatan bertaraf antarabangsa.

"Tugasan itu adalah sukar untuk diselesaikan dalam tempoh yang singkat tetapi kumpulan Amit, terutama pengarah seninya Bala Patil, adalah sangat hebat," tambahnya lagi.

Tempoh untuk membina set-set itu adalah selama tujuh hari dengan tenaga kerja lebih seratus orang yang bersengkang mata menyiapkannya.

Kini peneraju utama Parineeti Chopra sedang menjalani jadual kedua penggambaran yang akan berakhir dalam masa beberapa hari lagi dan akan meneruskan jadual terakhir yang akan bermula pada Januari 2020.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber foto: Box Office Income)
(Sumber artikel: Mumbai Mirror)