Sebagai tanda peringatan buat idola kesayangan, seorang peminat setia Sushant Singh Rajput menamakan sebutir bintang atas nama aktor itu di bawah pendaftaran The Star Register.

Buat pengetahuan lanjut, The Star Registry adalah sebuah syarikat berpengkalan di Illinois yang membenarkan orang awam untuk mendaftarkan nama bintang mengikut kesukaan sendiri.

Sesiapa yang berminat boleh mendaftar dan memaklumkan koordinat bintang dengan bayaran $48 (RM205.18) bagi sebutir bintang.

"Sejak mula lagi Sushant meminati bintang-bintang jadi saya namakan sebutir bintang atas namanya. Saya berasa diberkati kerana pernah menyaksikan seseorang berjiwa indah. Semoga kamu terus kekal bersinar!" tulis peminat bernama Raksha itu di Twitter.

Sehubungan dengan itu, Raksha turut berkongsikan sijil berdaftar yang disertakan dengan nota peribadi khas buat aktor filem "M. S. Dhoni: The Untold Story" tersebut.

Para peminat Sushant pasti sedia maklum bahawa aktor itu sememangnya mempunyai minat mendalam terhadap bidang astronomi, malah dia juga pernah terlibat dengan latihan khas di Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Amerika Syarikat (NASA).

Lebih menarik lagi, Sushant juga memiliki sebidang tanah di bulan bernama Mare Muscoviense atau 'Sea of Muscovy', yang dibeli dari syarikat International Lunar Lands Registry pada 2018.

Sushant meninggal dunia pada usia 34 tahun selepas ditemui mati bunuh diri di kediamannya pada 14 Jun lalu. Siasatan mendapati Sushant mengalami kemurungan sebelum kematiannya.

(Sumber: Raksha Twitter)
(Sumber foto: CDN Siasat & Raksha Twitter)