Pengarah filem komedi terbaru "Pagalpanti" Anees Bazmee memberitahu sekuel filem itu berkemungkinan bakal direalisasikan jika ia mendapat sambutan ramai.

"Ya, pihak kami ada berbincang dan para pelakon juga telah diumumkan mengenai sekuel filem pada hari pertama penggambaran filem ini.

"Walau bagaimanapun, penting bagi kami untuk mencari tahu sejauh mana penerimaan penonton terhadap filem ini.

"Tiada guna jika kami umumkan mengenainya awal-awal jika filem ini tidak mendapat ulasan dan sambutan yang baik," ujarnya seperti yang dilaporkan dari Times of India.

Sebelumnya, Anees telah menghasilkan beberapa filem komedi yang membuatkan penonton tidak kering gusi seperti "No Entry" lakonan Salman Khan dan "Welcome" lakonan Akshay Kumar.

"Pagalpanti" dibintangi oleh John Abraham, Anil Kapoor, Arshad Warsi, Pulkit Samrat, Ileana D'Cruz, Urvashi Rautela, Kriti Kharbanda dan Saurabh Shukla.

Ia berkisar mengenai sekumpulan pelancong yang bercadang untuk menjadi kaya dan telah memperdayakan dua gengster untuk merompak duit mereka.

Diterbitkan oleh kerjasama syarikat produksi T-Series bersama Panorama Studios, filem "Pagalpanti" ditayangkan di pawagam bermula 22 November ini.

(Sumber foto: Prokerala)

(Sumber artikel: Times of India)