Nampaknya peminat perlu menunggu lama sedikit untuk melihat debut lakonan Ahan Shetty kerana penggambaran 'remake' filem "RX100" ditangguhkan buat sementara waktu.

Pada Mac lalu, Ahan diumumkan secara rasmi bahawa dia bakal berkongsi skrin bersama pelakon "Student of the Year 2", Tara Sutaria dalam 'remake' tersebut.

Seperti yang dilaporkan menerusi In.com, sesi penggambaran yang sepatutnya bermula pada hujung Ogos depan terpaksa ditangguh akibat masalah teknikal.

"Terdapat sedikit masalah teknikal yang menyebabkan penggambaran ditangguh. Kedua-dua aktor itu sudah bekerja keras menurut skrip filem.

"Justeru, pembikin filem bakal mengumumkan tarikh baru bagi penggambaran tidak lama lagi," dedah satu sumber terdekat.

Sumber itu turut mengatakan Ahan dan Tara sering dilihat mengadakan sesi membaca skrip bersama dengan pengarah Milan Luthria.

Memandangkan filem itu mempunyai banyak babak lagak aksi, Ahan perlu menjalani beberapa latihan sebagai persiapannya.

Milan turut berkongsi bahawa plot filem itu sangat menarik dan akan memberi kejutan kepada penonton. Tambahnya lagi, kedua-dua watak yang dibawa oleh Ahan dan Tara amat penting dalam jalan cerita tersebut.

Selain itu, Milan berkata setelah melihat Ahan dan Tara berlatih bersama dalam bengkel latihan, dia memuji keserasian yang ditunjukkan oleh kedua-dua mereka.

"RX100" merupakan 'remake' rasmi filem Telugu 2018 yang sama judul dan dijangka akan ditayangkan pada tahun 2020.

(Sumber artikel: In.com)

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber foto: Ahan Shetty & Tara Sutaria Instagram)