Usia perkahwinannya bersama aktor Saif Ali Khan yang kini mencecah lapan tahun langsung tidak menjejaskan karier Kareena Kapoor Khan sebagai aktres.

Menurut laporan dari Mumbai Mirror, Kareena berpendapat tidak salah untuk dia meneruskan karier sebagai aktres selepas berkahwin memandangkan ramai pengarah yang menyokong perkara itu pada masa kini.

"Saya dapat bekerja dengan Kabir Khan, R. Balki dan ramai lagi pembikin filem selepas berkahwin. Kenyataan tentang Bollywood mahukan wanita yang belum berkahwin itu karut sahaja.

"Zaman dah berubah dan aktres seperti Vidya Balan dan Kangana Ranaut telah memecahkan sempadan itu dengan filem-filem pilihan mereka. Mereka telah menjayakan watak yang luar biasa," katanya.

Dalam pada itu, Kareena turut menafikan ura-ura yang menyatakan dia akan bekerjasama dengan bintang Shah Rukh Khan bagi filem baru arahan Rajkumar Hirani.

"Ia tidak benar. Saya sangat meminati dan menghormati Shah Rukh Khan dan teringin bekerja dengannya sekali lagi tetapi buat masa ini tiada projek baru untuk kami," tambahnya.

Kali terakhir Kareena dilihat berlakon di layar perak adalah menerusi filem komedi pecah panggung "Good Newwz" bersama Akshay Kumar, Diljit Dosanjh dan Kiara Advani.

Pada tahun ini, Kareena akan tampil membintangi dua buah filem baru iaitu "Angrezi Medium" arahan Homi Adajania dan "Laal Singh Chaddha" arahan Advait Chandan.

(Sumber: Mumbai Mirror)
(Sumber foto: Filmfare)