Isu berkaitan nepotisme di Bollywood seakan tiada titik noktah, lebih-lebih lagi selepas kematian aktor Sushant Singh Rajput sehingga menimbulkan pertengkaran dan ketidaksefahaman antara orang ramai dan para penggiat seni dalam industri perfileman.

Dituduh menyokong nepotisme di Bollywood, aktres dan pembikin filem Pooja Bhatt akhirnya tampil mengeluarkan kenyataan sendiri yang panjang lebar berhubung isu berkenaan menerusi laman Twitter.

Menurut Pooja, syarikat produksi milik keluarga Bhatt, Vishesh Films, telah melancarkan ramai pendatang baru dalam industri dan menafikan syarikat produksinya hanya mempromosikan orang-orang yang 'berasal' dari industri.

"Saya diminta untuk memberi komen tentang topik 'panas' nepotisme yang orang ramai sedang bahaskan. Sebagai seorang yang berasal daripada 'keluarga' yang telah melancarkan ramai bakat baru – pelakon, pemuzik dan juruteknik, lebih dari gabungan seluruh industri perfileman, saya hanya mampu ketawa. Fakta tidak mendapat perhatian, tetapi fiksyen sebaliknya.

"Pernah sekali keluarga Bhatt dituduh menentang aktor-aktor terkenal dan hanya bekerja atau melancarkan pendatang baru serta tak terkejar-kejarkan bintang-bintang ternama. Sekarang orang yang sama mempersoalkan isu nepotisme pula?

"Untuk Kangana Ranaut – Dia adalah seorang yang berbakat, jika tak, dia tak akan dilancarkan oleh Vishesh Films dalam "Gangster". Ya, Anurag Basu yang perasan akan bakatnya, tetapi Vishesh Films telah menyokong visinya dan melabur untuk filem itu. Di sini saya mengucapkan selamat maju jaya kepadanya," tulis Pooja.

Biarpun kenyataan Pooja disokong oleh ramai warganet, tetapi ia tidak dipersetujui oleh para peminat Kangana yang mengatakan Mukesh Bhatt (pakcik Pooja) sering mengabaikan bayaran penggiat seni dan Mahesh Bhatt (bapa Pooja) telah memalukan Kangana.

Dalam pada itu, Pooja akan dilihat berlakon bersama adiknya, Alia Bhatt, dalam filem arahan bapanya "Sadak 2". Filem itu merupakan terbitan Mukesh Bhatt di bawah syarikat produksi Vishesh Films.

Filem itu turut menandakan kemunculan semula Mahesh Bhatt sebagai pengarah selepas 20 tahun. Selain Pooja dan Alia, "Sadak 2" turut menampilkan pelakon lain seperti Sanjay Dutt, Aditya Roy Kapur dan Gulshan Grover.

(Sumber: Pooja Bhatt Twitter)
(Sumber foto: Pinkvilla)