Setelah disahkan positif COVID-19 ketika menjalani penggambaran filem "Jug Jugg Jeeyo", aktres veteran Bollywood Neetu Kapoor kini dibawa pulang ke Mumbai untuk mendapatkan rawatan lanjut.

Difahamkan, anak Neetu yang juga aktor, Ranbir Kapoor telah pun membuat persiapan rapi serta menyediakan ambulans udara untuk memindahkan Neetu dari Chandigarh ke Mumbai.

"Jika dia berada di sini (Mumbai), dia akan mendapatkan rawatan yang lebih rapi. Kalau tidak, dia akan bersendirian di Chandigarh," dedah sumber yang dipetik dari Hindustan Times.

Malang tidak berbau, selain Neetu, pengarah Raj Mehta dan aktor Varun Dhawan yang turut membintangi filem itu turut disahkan positif wabak tersebut.

"Walaupun Varun dan pengarah telah disahkan positif, namun mereka membuat keputusan untuk tinggal di Chandigarh dan mendapatkan rawatan di sana," kata sumber itu lagi.

Buat makluman lanjut, semua pelakon dan kru telah pun menjalani ujian saringan sebelum penggambaran bermula.

Dalam pada itu, aktor veteran Anil Kapoor memaklumkan bahawa keputusan ujian saringannya negatif dan menafikan segala ura-ura yang mengatakan dia dijangkiti wabak tersebut.

Terdahulu, Neetu telah berkongsi keterujaannya untuk kembali ke set penggambaran "Jug Jugg Jeeyo" setelah sekian lama tidak membintangi filem menerusi 'posting' yang dimuat naik di laman Instagram miliknya.

A post shared by neetu Kapoor. Fightingfyt (@neetu54)

(Sumber foto: The Statesman)