Aktres filem India Selatan Pragya Jaiswal bakal digandingkan dengan bintang Bollywood terkemuka Salman Khan buat kali pertama menerusi filem terbaru Salman, "Antim: The Final Truth".

Buat makluman lanjut, penggambaran filem aksi polis itu sudah pun berlangsung sejak November tahun lalu di Pune dan studio Film City yang terletak di Mumbai.

"Pragya telah menjalani penggambaran secara senyap-senyap sejak beberapa hari lalu bersama seluruh kumpulan produksi filem "Antim".

"Mereka juga telah menjalankan penggambaran di Mahabaleshwar. Pragya membawa watak sebagai kekasih kepada Salman dan mereka mempunyai sebuah lagu romantik dalam filem itu," dedah sumber dari Filmfare.

Terdahulu, aktor Aayush Sharma, yang juga adik ipar kepada Salman, mendedahkan penampilan watak Salman dalam filem itu menerusi media sosial dan ia menjadi tular dalam kalangan peminat.

Selain Pragya dan Salman, filem itu turut dibintangi aktres TV, Mahima Makwana yang memegang watak sebagai pasangan kepada Aayush, serta penampilan istimewa daripada aktor Varun Dhawan.

Diarahkan oleh Mahesh Manjrekar, "Antim: The Final Truth" merupakan 'remake' kepada filem Marathi "Mulshi Pattern" dalam versi Hindi.

Untuk rekod, Pragya melangkah ke industri filem Bollywood menerusi filem "Titoo MBA" (2014) arahan Amit Vats, di mana dia berkongsi skrin dengan aktor Nishant Dahiya.

(Sumber foto: Pragya Jaiswal & Salman Khan Instagram)