Setelah dua tahun berehat dari dunia perfileman, kini bintang Bollywood Preity Zinta kembali mewarnai industri dengan sebuah siri web terbaru yang diterbitkan di bawah syarikat produksinya PZNZ Media.

Apa yang menarik, Preity sudah pun memilih seorang aktor yang sememangnya tidak asing lagi dari dunia Bollywood, iaitu Hrithik Roshan, sebagai peneraju utama siri web tersebut.

Seperti yang diketahui ramai, hubungan Preity dan Hrithik dilihat agak akrab sejak mereka digandingkan dalam filem ikonik “Koi... Mil Gaya” (2003).
“Preity memilih rakannya Duggu (Hrithik) kerana dia berpendapat dia adalah calon terbaik untuk menggalas watak utama.

“Dia akan menerbitkan siri yang diinspirasikan dari novel John LeCarre, “The Night Manager” dalam versi India. Watak utamanya agak kompleks dan Hrithik terus bersetuju dengan tawaran itu,” dedah sumber yang dipetik dari Pagal Parrot.

Sehubungan dengan itu, projek berkenaan juga secara tidak langsung menandakan debut Hrithik di platform digital serta projek digital Preity yang pertama.

Difahamkan pengarah siri web “Aarya”, Sandeep Modi telah dipilih untuk mengarah projek Preity dan sekiranya semua berjalan dengan lancar, penggambaran akan bermula pada Mac ini.

(Sumber foto: Preity Zinta & Hrithik Roshan Instagram)