Sebagai bintang Bollywood terkenal, wajah Priyanka Chopra sering menghiasi media sosial dan muka depan majalah untuk mempromosikan pelbagai jenis produk.

Bagaimanapun, isteri kepada bintang Hollywood Nick Jonas itu mengakui, dia berasa kesal kerana menerima tawaran untuk menjadi duta produk pemutih kulit di India.

Menurut Priyanka, dia membuat keputusan untuk berhenti mempromosikan produk pemutih kulit setelah dia melebarkan kerjaya seninya di Hollywood.

"Pemutihan kulit menjadi norma budaya di Asia Selatan. Ia adalah industri besar yang melibatkan ramai orang. Malah, doktor wanita juga melakukannya, dan ianya tidak bagus.

"Saya rasa saya telah lakukan sesuatu yang tidak bagus kerana sewaktu kecil, saya sering memakai bedak talkum di wajah kerana saya percaya yang wanita berkulit gelap tidak cantik," katanya yang dipetik dari Hindustan Times.

Sehubungan dengan itu, Priyanka akan menyentuh tentang isu prejudis warna kulit dalam memoir "Unfinished" yang bakal diterbitkannya pada 9 Februari depan.

Tahun lalu, Priyanka menerima kecaman orang ramai kerana bercakap tentang isu Black Lives Matter yang berlaku di Amerika Syarikat, walhal dia pernah menjadi duta produk pemutih kulit.

Dalam perkembangan lain, baru-baru ini filem "The White Tiger" lakonan Priyanka, Rajkummar Rao dan Adarsh Gourav berjaya mendapat sambutan tinggi setelah ditayangkan di platform penstriman video.

(Sumber foto: Priyanka Chopra Instagram)