Ketika dunia sedang berdepan situasi getir pandemik COVID-19, dua syarikat produksi gergasi dari Hollywood iaitu STX Entertainment dan Bollywood iaitu Eros International PLC telah bergabung untuk menjadi sebuah syarikat produksi baru.

Syarikat produksi yang dikenali sebagai Eros STX Global Corporation itu dilaporkan bakal menerbitkan kandungan Bollywood dan Hollywood termasuk filem, siri televisyen dan juga platform penstriman.

"Saya sentiasa percaya teknologi akan mengubah model studio kepada digital. Pada akhirnya, wabak COVID-19 menyatukan perjanjian antara kami.

"Dalam tempoh empat hingga enam minggu ini, jumlah masa yang dihabiskan pengguna platform digital melonjak antara 50 hingga 200 peratus," ujar Pengasas Eros International, Kishore Lulla yang turut memegang jawatan Eksekutif Pengerusi Bersama rakan kongsi dari STX iaitu Ribert Simonds yang dipetik dari BH Online.

Tambahnya lagi, hasil kolaborasi ini mereka bebas untuk bersaing dengan syarikat produksi filem Hollywood ketika ini.

Jelas Kishore lagi, selain merancang untuk menerbitkan 40 buah filem, mereka juga akan menerbitkan lebih 100 siri televisyen termasuk menyediakan kandungan kepada platform penstriman terkenal seperti Netflix, Hulu dan Amazon.

Dalam pada itu, Pengerusi Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Eros STX iaitu Simonds turut menyasarkan mahu menjadi penyedia kandungan premium terbesar di pasaran global seperti Amerika Syarikat, India dan China.