Aktres televisyen Sriti Jha baru-baru ini mengejutkan ramai apabila videonya tentang isu aseksual tular selepas beberapa individu berkongsikannya semula di media sosial.

Menerusi video itu, Sriti, yang terkenal dengan drama bersiri "Kumkum Bhagya", dilihat membaca serangkap puisi bertajuk "Confessions of a Romantic Asexual" yang menggambarkan pendiriannya.

Sriti telah mempersembahkan puisi itu di khalayak ramai di acara Kommune India Spoken Fest di Mumbai pada tahun lalu.

"Pada kali pertama saya jatuh cinta, ada perkara yang disebut dan ada peraturan yang ditetapkan. Berpegangan tangan dan menggoda tak mengapa tetapi apa-apa yang menjangkau perlakuan itu adalah tak okay," katanya.

A post shared by Brut India (@brut.india)

Sehubungan dengan itu, Sriti turut menyeru orang ramai agar tidak memandang ia sebagai isu negatif dalam kalangan masyarakat serta tidak cuba mengubah atau memperbetulkan mereka yang berdepan situasi sama.

Orang ramai menyifatkan ia adalah satu tindakan bagus dan memuji keberanian Sriti kerana meluahkan isi hatinya serta berkongsi isu yang dianggap tabu itu kepada umum.

Buat makluman, aseksual merujuk kepada orientasi seks di mana seseorang individu itu tidak mempunyai atau kurang daya tarikan seksual terhadap individu lain.

Untuk rekod, Sriti pernah membintangi beberapa drama bersiri seperti "Jamai Raja", "Naagin 2", "Kundali Bhagya" dan "Dil Se Di Dua... Saubhagyavati Bhava?".

(Sumber foto: Sriti Jha Instagram)