Jika mempunyai waktu lapang ketika dalam penggambaran filem terbarunya "Angrezi Medium", aktres Radhika Madan memberitahu dia akan meneliti lakonan pelakon-pelakon lain yang turut terlibat.

Seperti yang dinyatakan oleh Radhika, dia berasa untung kerana berpeluang bekerja di samping pelakon-pelakon hebat seperti Irrfan Khan, Kareena Kapoor Khan, Dimple Kapadia, Pankaj Tripathi dan Deepak Dobriyal.

"Ketika menonton treler filem ini bersama Homi (pengarah), saya hampir menangis kerana merasakan ia bagaikan mimpi apabila melihat nama saya muncul bersama nama pelakon-pelakon terkenal.

"Ketika terlibat dengan penggambaran, saya akan meluangkan masa di lokasi walaupun saya tidak diperlukan kerana saya tidak mahu melepaskan peluang untuk meneliti semua pelakon hebat dalam satu skrin dan belajar dari mereka," dedahnya yang dipetik dari Times of India.

Dalam pada itu, Radhika memberitahu dia tidak mempunyai masalah untuk berganding dengan Irrfan sebagai watak anak kepada aktor berkenaan, malah mudah untuk mendapatkan keserasian.

Tambah aktres berusia 24 tahun itu lagi, bekerja dengan Irrfan banyak mengingatkannya kepada bapa kandungnya yang banyak membantunya sewaktu mula mencipta nama dalam industri perfileman.

"Ketika saya berjaya menjadi seorang aktres, ayah tidak pernah mempersoalkan pilihan saya walaupun ibu agak bimbang dengan penglibatan saya dalam industri. Ia satu pengalaman yang luar biasa apabila merasai perasaan itu semula ketika bekerja dengan Irrfan," katanya.

"Angrezi Medium" diterbitkan oleh Dinesh Vijan bersama Jyoti Deshpande dan akan dirilis di pawagam bermula 13 Mac ini.

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: Radhika Madan Instagram)