Para pelakon pada masa kini dilihat semakin terbuka dalam menjayakan kepelbagaian watak dalam filem, termasuklah aktres yang semakin mencipta nama di layar perak Radhika Madan.

Menurut Radhika yang memulakan kerjaya menerusi drama televisyen "Meri Aashiqui Tum Se Hi", perkara itu bertujuan untuk memastikan para penonton tidak akan jemu melihat watak sama dalam setiap filem yang dibintanginya.

"Sebagai penonton, kita pasti tidak mahu melihat pelakon melakonkan watak yang sama secara berterusan. Sebagai seorang aktres, saya tidak mahu orang lain mengehadkan kebolehan saya.

"Kita menjadi aktor kerana mahu hidup dalam pelbagai kehidupan berbeza, bukan hanya satu sahaja. Tidak kira sesukar mana pun sesebuah watak itu, saya akan terus mencubanya," katanya yang dipetik dari Times of India.

Setelah membintangi dua buah filem, "Pataakha" dan "Mard Ko Dard Nahi Hota", Radhika bakal kembali dengan filem komedi "Angrezi Medium" arahan Homi Adajania.

Buat pengetahuan lanjut, filem itu merupakan sebuah 'spin-off' kepada filem "Hindi Medium" terbitan Dinesh Vijan yang ditayangkan pada 2017.

Turut diterbitkan oleh Dinesh, "Angrezi Medium" juga mengembalikan peneraju utama filem asal iaitu Irrfan Khan, dibantu oleh pelakon lain seperti Kareena Kapoor Khan dan Deepak Dobriyal.

"Angrezi Medium" bakal dirilis di pawagam pada 13 Mac ini.

(Sumber: Times of India)
(Sumber foto: Radhika Madan Instagram)