Industri hiburan India Selatan dikejutkan dengan berita bintang kesayangan mereka Rajinikanth dilaporkan telah menerima panggilan ugutan bom di kediaman pelakon itu di Chennai.

Menurut laporan, suspek tersebut telah menghubungi pelakon "Kabali" itu dan mendakwa sudah meletakkan bom di kediaman pelakon itu.

Pihak polis yang tiba di kediaman pelakon itu telah menggeledah keseluruhan kediaman itu bagaimanapun tidak menemui sebarang bom seperti yang didakwa sebelum menyedari bahawa panggilan itu adalah palsu.

Kini pihak polis sedang menyiasat mengenai panggilan palsu itu untuk mengenal pasti motif di sebaliknya.

Ini bukanlah perkara kali pertama selebriti India berdepan situasi sama kerana sebelum ini pelakon seperti Shah Rukh Khan, Salman Khan, Mahesh Bhat dan ramai lagi turut berdepan situasi sama.

Dalam perkembangan lain, Rajinikanth bakal muncul dengan filem terbarunya berjudul "Annaatthe" yang menyaksikan kolaborasi ketiga pelakon itu dengan produksi Sun Pictures selepas "Enthiran" dan "Petta" yang mana kedua-dua filem itu berjaya meraih kutipan pecah panggung.

(Sumber: Bollywood Life)
(Sumber foto: deccanherald)