Aktor Rajkummar Rao sememangnya terkenal dengan genre komedi, dan kali ini dia telah bersetuju untuk membintangi sebuah lagi filem komedi terbitan pembikin filem tersohor Ronnie Screwvala dan Raaj Shaandilyaa.

Filem komedi yang masih belum diberi judul itu menandakan arahan debut pengarah baru, Ishrat R Khan, yang pernah menjadi pembantu pengarah Anees Bazmee bagi filem "Deewangee", "No Entry", "Welcome" dan "Welcome Back".

"Apabila Ronnie, Raaj dan Ishrat menjelaskan skrip filem kepada Rajkummar, dia sangat tertarik dengan komedi itu. Dia telah pun bersetuju dan akan menandatanganinya secara rasmi pada Januari depan.

"Rajkummar sangat menepati watak itu dan semua meletakkan harapan kepadanya untuk berada dalam filem ini," dedah satu sumber terdekat menerusi Mumbai Mirror.

Menurut sumber itu lagi, penggambaran dijangka untuk dimulakan pada pertengahan tahun hadapan dan filem itu bakal ditayangkan dalam tahun yang sama.

Beralih ke perkembangan lain, Rajkummar yang kali terakhir dilihat dalam "Made In China" akan membintangi dua buah filem terbaru pada 2020 iaitu "Chhalaang" dan "Roohi Afza".

Selain itu, dia juga akan membintangi sebuah filem komedi sosial yang turut diterbitkan oleh Raaj. Walau bagaimanapun, tiada sebarang butiran didedahkan buat masa ini.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber foto: Entrepreneur)
(Sumber artikel: Mumbai Mirror)