'Publicist' Bollywood berpengaruh, Rohini Iyer, tampil membidas tindakan dan sikap selebriti-selebriti Bollywood yang hipokrit terhadap aktor yang juga rakan baiknya, Sushant Singh Rajput, yang disahkan meninggal dunia pada 14 Jun lalu.
Sehubungan dengan itu, Rohini telah memuat naik beberapa perkongsian panjang di laman Instagramnya yang bernada sinis namun tidak mendedah sebarang nama dalam perkongsian tersebut.
"Pertama sekali, dia tak kisah pun tentang kemasyhuran atau pendapat kamu. Dia tak kisah tentang sesiapa yang sibuk memuat naik perkongsian mengenai mereka tak berhubung dengannya. Dia tak kisah jika tak berhubung. Dia bencikan rakan-rakan, panggilan dan cakap kosong yang palsu.
"Dia cipta nama sendiri. Dia merupakan orang luar yang tak kisah pun untuk jadi orang dalam. Ini kerana kehidupannya bukan semata-mata filem. Industri hanya sebahagian kecil daripada hidupnya. Dia tak kisah tentang kejayaan. Dia tak pernah gagal.
"Dia tak kisah tentang anugerah. Malah dia beredar dari acara anugerah kerana bosan. Ini sebelum mereka mengumumkan kemenangannya sebagai aktor terbaik. Kamu perlu lebih menarik daripada sebuah trofi untuk menarik perhatiannya," tulis Rohini.
Seperti yang diberitahunya lagi, Sushant bukan sahaja berbakat dalam lakonan, malah dia juga seorang yang bijak dalam pelajaran, di mana dia mengambil kursus astronomi dan stoikisme, serta mahir menulis puisi.
Dalam sebuah perkongsian lagi, Rohini meminta orang ramai supaya menulis mengenai kehidupan, kerja serta kejayaan Sushant jika ingin membuat perkongsian untuk memperingatinya.
Baru-baru ini, beberapa selebriti terkenal termasuk Karan Johar dan Alia Bhatt telah menerima kecaman hebat daripada warganet kerana bersikap hipokrit dan berpura-pura kisah tentang Sushant hanya selepas kematiannya.
Seperti yang dilaporkan, kematian Sushant berpunca akibat bunuh diri kerana disyaki kemurungan dan mengalami tekanan sepanjang berkecimpung dalam industri perfileman Bollywood.
(Sumber: Rohini Iyer Instagram)
(Sumber foto: Rohini Iyer Instagram)