Penantian para peminat kini berakhir apabila pembikin filem Rakesh Roshan mendedahkan proses pembikinan filem aksi adiwira "Krrish 4" kini sudah bermula dan masih di peringkat awal.

"Kami sedang menanti waktu yang sesuai selepas situasi pandemik Coronavirus ini terkawal sebelum memulakan projek "Krrish 4".

"Sebaik sahaja semuanya kembali seperti biasa, kami akan teruskan projek ini. Setakat ini ia masih dalam proses penulisan skrip dan peneraju wanita utama akan dipilih selepas skrip disiapkan," katanya yang dipetik dari Deccan Chronicle.

Sebelumnya, Rakesh dilaporkan akan bekerjasama dengan anaknya yang juga aktor Hrithik Roshan dalam projek filem tersebut, yang mana Rakesh akan bertindak sebagai pengarah.

Walau bagaimanapun, ia terpaksa ditangguhkan berikutan Rakesh perlu menjalani pembedahan pada Januari setelah didiagnosis dengan kanser kulit dan perlu berehat sehingga pulih sepenuhnya.

"Krrish 4" merupakan sambungan kepada filem "Krrish 3" yang dirilis secara global pada 2013 dan menerima kutipan pecah panggung. Filem ketiga itu dibintangi Hrithik bersama aktres gandingannya Priyanka Chopra.

Dalam pada itu, Rakesh turut meluahkan rasa senang hati selepas melihat kejayaan dua filem diterajui anaknya iaitu "War" dan "Super 30" yang sebelumnya menerima sambutan baik.

(Sumber: Deccan Chronicle)
(Sumber foto: Bollywood Hungama)