Pembikin filem dan aktor Rana Daggubati menyatakan hasratnya untuk menerbitkan 'remake' filem "Oh! Baby" dalam versi Hindi.

Filem tersebut berjaya mencapai kutipan pecah panggung serta mendapat komen positif daripada pengkritik filem sejak ia ditayangkan di pawagam bermula 5 Julai lalu.

Dibintangi Samantha Akkineni sebagai peneraju utama, filem komedi fantasi itu merupakan 'remake' filem Korea Selatan yang berjudul "Miss Granny".

Seperti yang dilaporkan menerusi Mumbai Mirror, 'remake' filem versi Telugu itu telah diterbitkan di bawah syarikat produksi Rana iaitu Suresh Productions.

"Ia merupakan sebuah cerita yang asalnya ditulis dalam bahasa Korea dan telah diadaptasi ke pelbagai bahasa lain di serata dunia.

"Walaupun jalan cerita, konflik dan plot masih kekal sama, namun pelbagai jenis adaptasi beserta karakter-karakter baru telah diperkenalkan bagi menambah keseronokan dalam filem itu," ujar Rana.

Menurutnya lagi, cabaran menghasilkan 'remake' itu ialah dia perlu memastikan adaptasi, karakter dan jalan cerita sama seperti apa berlaku dalam dunia sebenar dan boleh dikaitkan dengan penonton.

Terdapat spekulasi mengatakan aktres Bollywood Alia Bhatt telah memberi respon positif kepada pembikin filem untuk menjayakan watak yang digalas Samantha.

Selain itu, ada laporan lain yang mengatakan Boney Kapoor juga berminat untuk terlibat dalam filem itu bersama anaknya Janhvi Kapoor sebagai peneraju utama.

Bagaimanapun, setakat ini masih belum ada sebarang pengumuman rasmi daripada pembikin filem mengenai perkara tersebut.

"Oh! Baby" berkisar mengenai seorang wanita tua berusia 70 tahun mendapati dirinya bertukar menjadi lebih muda selepas hadir ke satu sesi bergambar di sebuah studio misteri.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

Sumber artikel: Mumbai Mirror
Sumber foto: GQ India