Pengarah Sandeep Reddy Vanga yang menjayakan filem "Kabir Singh" bersama Shahid Kapoor, dilaporkan ingin menawarkan filem barunya kepada aktor Ranbir Kapoor.

"Ranbir berkeinginan untuk bekerja dengan Sandeep Vanga. Bagaimanapun, dia ingin membaca keseluruhan skrip terlebih dahulu sebelum membuat keputusan untuk terima atau tidak.

"Buat masa ini Sandeep sedang dalam proses menghasilkan skrip filem barunya dan ia akan mengambil tempoh kira-kira 10 ke 15 hari untuk disiapkan sepenuhnya," dedah satu sumber menerusi Times of India.

Setakat ini, laporan menyatakan bahawa filem itu diberi judul "Devil" buat sementara waktu dan akan diterbitkan oleh pembikin filem terkenal Bhushan Kumar.

"Kami memang akan meneruskan filem itu namun tiada aktor yang telah dimuktamadkan. Sandeep masih menulis skrip dan kami akan umumkan secara rasmi setelah ia siap," ujar Bhushan.

Dalam perkembangan lain, Ranbir kini sedang sibuk dengan penggambaran bagi babak klimaks filem fantasi "Brahmastra" bersama Alia Bhatt dan Amitabh Bachchan di Manali.

Diarahkan oleh Ayan Mukerji di bawah terbitan Karan Johar, filem "Brahmastra" bakal menggegarkan pawagam pada musim panas 2020.

Layari berita Bollywood terkini di laman web www.bollylah.com dan laman Facebook kami.

(Sumber foto: Pinkvilla)
(Sumber artikel: Times of India)