Pembikin filem dan aktor Randhir Kapoor memberitahu bahawa keluarganya masih cuba menyesuaikan diri selepas kematian bintang legenda Rishi Kapoor pada 30 April lalu akibat penyakit Leukemia.

Menurut Randhir, biarpun dilanda ujian yang berat, keluarganya masih berada dalam keadaan baik, namun perasaan rindu terhadap Rishi tetap hadir setiap hari.

"Terima kasih kepada Tuhan, keluarga saya berada dalam keadaan baik. Kami mengambil masa untuk berdepan dengan kehilangan ini, tetapi kami merindui dia setiap hari.

"Kami semua berkongsi satu jalinan yang sama terhadap rakan-rakan, keluarga, makanan dan filem," ujar Randhir yang dikongsikan menerusi laporan Filmibeat.

Pada masa yang sama, aktor filem "Housefull 2" itu turut memberi ucapan penghargaan buat semua peminat yang sentiasa menyokong dan memberi kata-kata semangat kepada keluarganya.

"Orang ramai di serata dunia mencurahkan kasih sayang mereka terhadap Rishi. Kami menerima banyak mesej berupa ucapan takziah, malah ada antara mereka yang berkongsi pengalaman dan memori mereka bersama adik saya.

"Agak mustahil untuk membalas mesej mereka semua, tetapi saya ingin berterima kasih kepada semua dan ingin memberitahu para peminat untuk terus mengingati filem-filem, senyuman dan semangatnya," tambahnya lagi.

Rishi telah pergi meninggalkan isteri Neetu Kapoor, dan dua anak iaitu Ranbir dan Riddhima. Seperti yang dilihat menerusi Instagram, Neetu tidak pernah jemu untuk berkongsikan foto-foto lama bersama Rishi.

Terdahulu, Rishi pernah terlibat dengan penggambaran filem terakhirnya berjudul "Sharmaji Namkeen" arahan Hitesh Bhatia, yang turut menampilkan aktres Juhi Chawla.

Biarpun sesi penggambaran masih berbaki beberapa hari lagi, namun pihak produksi nekad untuk menyiapkan filem tersebut dengan menggunakan teknologi imej janaan komputer (CGI).

(Sumber: Filmibeat)
(Sumber foto: Times of India)