Bangga dengan pencapaian adiknya, Rangoli Chandel tampil berkongsikan poster filem bergenre drama sukan terbaru arahan Ashwiny Iyer Tiwari "Panga" yang diterajui aktres Kangana Ranaut.

Menerusi poster yang dimuat naik di laman Instagram, Kangana dilihat mengenakan sepasang sari merah jambu dan slogan poster itu turut menampilkan nama wataknya, Jaya.

"Generasi ibu pada zaman ini sangat bertuah kerana kita mempunyai ibu-ibu bekerja seperti Kareena Kapoor Khan yang tidak menyembunyikan kehidupannya sebagai seorang ibu.

"Selain itu, kita juga mempunyai aktres hebat seperti Kangana Ranaut yang menggalas watak seorang ibu sebagai peneraju utama di skrin lebar," tulis Rangoli yang dipetik dari Hindustan Times.

Dalam pada itu, pihak produksi turut mengumumkan tarikh pelancaran treler filem itu iaitu pada 23 Disember ini. Kangana juga telah selesai menjalani penggambaran pada Julai lalu.

Sebagai persiapan, Kangana juga mendedahkan dia perlu menaikkan berat badan dan berlatih supaya tubuh badannya sama seperti seorang atlet Kabbadi.

Selain Kangana, filem itu turut menampilkan barisan pelakon seperti Jassi Gill, Neena Gupta, Pankaj Tripathi, Richa Chadda dan Mukesh Tiwari.

Diterbitkan oleh Fox Star Studios, "Panga" akan menemui penonton di pawagam pada 24 Januari 2020. (Sumber foto: Kangana Ranaut Instagram)

(Sumber artikel: Hindustan Times)