Bintang Bollywood Raveena Tandon memuji sikap para jurugambar yang menghormati keputusan pasangan selebriti Anushka Sharma dan Virat Kohli untuk tidak mendedahkan foto bayi mereka secara umum.

Memetik laporan dari Hindustan Times, difahamkan Anushka dan Virat telah menghantar bungkusan istimewa yang mengandungi hadiah buat para jurugambar serta surat permintaan untuk tidak mengambil foto bayi mereka.

Perkara itu telah dikongsi oleh jurugambar terkenal Viral Bhayani menerusi laman Instagram baru-baru ini, di mana mesej itu sudah pun disampaikan kepada kumpulannya.

A post shared by Viral Bhayani (@viralbhayani)


Kagum dengan sikap kumpulan jurugambar itu, Raveena sempat meninggalkan pendapatnya di ruangan komen bagi perkongsian tersebut.

“Saya sangat bersetuju dengan sentimen itu dan tahniah kepada semua jurugambar kita kerana sentiasa menghormati permintaan orang lain.

“Kamu semua selalu menunaikan permintaan saya ketika saya tidak mahu kamu mengambil foto anak-anak saya ketika mereka masih kecil, dan saya ingin ambil peluang ini untuk berterima kasih atas kebaikan kamu,” katanya.

Terdahulu, Anushka dan Virat telah selamat menimang bayi perempuan dan mereka membuat keputusan untuk tidak mendedahkan anak mereka kepada khalayak ramai buat masa ini.

(Sumber foto: Raveena Tandon & Anushka Sharma Instagram)