Selepas sebulan mendiamkan diri dari membuat sebarang kenyataan, pelakon yang juga teman wanita mendiang Sushant Singh Rajput iaitu Rhea Chakraborty akhirnya tampil memohon Menteri Dalam Negeri iaitu Amit Shah untuk melakukan siasatan CBI (Central Bureau of Investigation) terhadap kematian aktor itu akibat bunuh diri.
Aktres itu berkata demikian di laman sosial Instagram miliknya yang meminta Amit membuat siasatan tersebut kerana dia mahu tahu punca yang menyebabkan Sushant sanggup ambil tindakan drastik itu.
Dalam posting berasingan, Rhea turut memuat naik foto bersama mendiang Sushant berserta kapsyen yang menyatakan dirinya masih lagi bersedih dengan pemergian mengejut teman lelakinya itu dan berkongsi sedikit kenangan manis bersama.
Dalam pada itu, Rhea telah berkongsi tangkap layar ugutan bunuh dan rogol yang diterimanya oleh seorang individu tidak dikenali di media sosial.
Susulan itu, dia telah memuat naik tangkap layar itu dan 'tagged' Jabatan Jenayah Siber untuk minta mereka ambil tindakan terhadap individu itu.
"Tidakkah anda sedar betapa seriusnya perkara yang anda cakap itu? Ia adalah jenayah dan secara undang-undang, tiada seorang pun harus berdepan dengan gangguan seperti ini. Saya minta jabatan Jenayah Siber India ambil tindakan," tulisnya yang dipetik dari DNA India.
Pada 14 Jun lalu, dunia Bollywood dikejutkan dengan berita kematian aktor Sushant Singh Rajput yang dikatakan telah membunuh diri di kediamannya.
Sejak kematian aktor itu, banyak cerita-cerita sisi gelap dunia Bollywood mula didedahkan termasuklah amalan nepotisme dalam kalangan penggiat seni.
(Sumber: DNA India)
(Sumber foto: socialnews.xyz)