Isu diskriminasi terhadap golongan yang bekerja dalam industri perfileman Bollywood bukanlah sesuatu yang baru dan penerbit terkenal Rhea Kapoor juga pernah berdepan isu tersebut.

Baru-baru ini, Rhea telah menjadi tetamu jemputan dalam program bual bicara radio Kareena Kapoor Khan bernama "What Women Want" dan bercakap mengenai cabaran yang dihadapinya sepanjang berkecimpung dalam industri filem Bollywood.

"Golongan wanita sangat bagus dalam menjalankan tanggungjawab tetapi pada pendapat saya cara orang ramai melayan jawatan yang dipegang oleh wanita adalah satu cabaran.

"Ia lebih mencabar untuk seorang wanita yang memegang jawatan penerbit. Anda perlu membuktikan kelebihan anda berulang-ulang kali memandangkan industri ini didominasi oleh golongan lelaki.

"Pelbagai kerenah yang anda perlu hadap dalam membuat keputusan melibatkan nilai wang yang besar. Ia termasuk berdepan dengan para aktor lelaki, pengurus dan ejen-ejen, termasuk ejen wanita," ujarnya yang dipetik dari Filmi Beat.

Tambah penerbit berusia 33 tahun itu lagi, dia menganggap dirinya bertuah kerana lahir daripada keluarga yang terlibat dengan industri perfileman dan berjaya bergelar penerbit pada usia muda.

Seperti yang diketahui umum, bapa Rhea adalah aktor dan penerbit terkenal Anil Kapoor, sementara kakaknya pula adalah aktres Sonam Kapoor. Adiknya juga adalah aktor Harshvardhan Kapoor.

Untuk rekod, Rhea kini mempunyai tiga buah filem di bawah terbitannya iaitu "Aisha" (2010), "Khoobsurat" (2014) dan "Veera Di Wedding" (2018).

(Sumber: Filmi Beat)
(Sumber foto: Rhea Kapoor Instagram)